Automotif
Dashcam – Fungsi Yang Perlu Ada Dan Tips Membeli

Dashcam atau dashboard camera atau kamera papan pemuka merupakan satu kemestian bagi para pemandu untuk memasang di kenderaan mereka.
Kamera ini tampak telah memberi banyak kebaikan kepada pengguna jalanraya dalam merekod segala apa yang terjadi semasa di atas jalan raya. Senang cerita, ia bertindak sebagai ‘saksi’ dalam merakamkan sekiranya terjadi insiden yang tidak diingini.
Yelah, sejak akhir-akhir ini kerap terjadi kes-kes seperti pemandu tidak mengaku melanggar lampu merah atau menuduh pemandu lain yang bersalah. Paling ketara sekali ialah kes memandu secara melulu dan cuai seperti menukar laluan tanpa memberi signal.
Bukan itu sahaja, masalah ketiadaan kamera CCTV di lampu isyarat dan juga saksi-saksi yang tidak mahu tampil membantu juga salah satu faktor yang menjadi sebab musabab penggunaan dashcam ini semakin popular dalam kalangan pemandu jalanraya.
Tetapi, sejauh mana keberkesanannya dari segi fungsi. Bukan apa, terdapat banyak produk yang sama dalam pasaran. Sebagai contoh, buka sahaja Lazada akan buatkan anda pening kepala untuk memilih mana satu yang sesuai kerana terdapat ratusan pilihan.
Oleh itu, disini admin kongsikan serba sedikit fungsi-fungsi dan spesifikasi yang perlu ada untuk sebuah dashcam. Pendek kata, kamera yang mampu menjalankan tugas sebagai ‘saksi’ dengan cemerlang.
Resolusi Video
- Pastikan ia mempunyai resolusi minumum HD 720p kerana jika lebih rendah, anda akan mempunyai masalah untuk membaca nombor plat kereta, jenis kenderaan atau muka pemandu wanita yang comel itu.
- Dashcam dengan resolusi HD 1080p dan 2K memang ada tetapi fail video terlalu besar dan memakan memori.
Kapasiti simpanan memori
- Ini penting ketika anda hendak membeli kad microSD untuk dashcam anda.
- Contohnya, satu jam video HD 720p memerlukan ruang memori antara 1GB ke 2GB.
- Untuk satu jam video HD 1080p, anda perlukan 6GB ke atas.
- Jangan beli microSD dengan memori yang terlalu rendah. Paling minimum yang disyorkan ialah 64GB.
- Jika anda membeli produk yang terlalu murah, pastikan kad memori anda dari jenama yang boleh dipercayai. Jika tidak, kad memori murahan mempunyai kebarangkalian fail video anda rosak (corrupted file).
Sistem suis On/Off automatik
- Mempunyai fungsi suis on/off automatik.
- Ini bermakna bila kereta dimatikan enjin dankunci ditarik keluar, kamera akan ditutup.
- Bila enjin dihidupkan, kamera berfungsi kembali.
- Ada juga produk yang tidak mempunyai fungsi ini.
Night Vision
- Pastikan dashcam anda mempunyai fungsi Night Vision kecuali anda bercadang untuk memandu di siang hari sahaja
- Produk yang mahal selalunya mempunyai fungsi Night Vision yang lebih baik dan kurang Noise (bintik-bintik bila keadaan gelap).
Saiz dashcam
- Tidap perlu besar kerana ia menghalang pemandangan anda sebagai pemandu.
- Dashcam terbaik perlu kecil dan boleh dipasang di kawasan yang tidak menggangu pemandu.
Pengesan hentakan (Impact Sensor)
- Fungsi ini bertindak apabila ada impak perlanggaran, kamera akan menyimpan rakaman video beberapa minit sebelum pelanggaran ke dalam fail yang berasingan.
- Ini memudahkan anda untuk memuat turun video yang berkaitan sahaja.
- Ia juga boleh dihidupkan secara automatik walaupun bila enjin dimatikan.
- Ini berguna bila kenderaan anda dilanggar bila anda tinggalkan ia di tepi jalan untuk membeli nasi bungkus dari pintu belakang kedai sewaktu ramadhan.
Mod “loop recording”
- Mempunyai fungsi Loop-Recording.
- Ia bermaksud bila kad memori sudah penuh, ia akan merakamkan video di atas video yang paling awal.
- Pusingan rakaman ini penting dan jika kad memori cukup besar, ia mampu menyimpan rakaman yang lebih rama sebelum dipadamkan.
Pengesan lokasi GPS
- Fungsi GPS ini bagi memberitahu anda lokasi kejadian.
- Selain dari itu, ia juga mampu merekodkan kelajuan kenderaan dan sesuai untuk para isteri bagi mengesan di mana suami anda pergi ‘main futsal’ malam tadi
Unit tambahan di belakang
- Produk yang mahal selalunya mempunyai fungsi kamera di belakang.
- Ini bermakna ia mampu merakam kejadian di belakang kereta.
- Fungsi ini bagus kerana jumlah kemalangan yang berlaku dari belakang juga tinggi.
Pemegang dashcam
- Kebanyakan dashcam akan datang dengan pemegangnya.
- Anda juga boleh membeli pemegang GoPro kerana ia melekat kuat pada cermin kenderaan.
Fungsi WiFi
- Terdapat juga dashcam yang hadir dengan fungsi Wifi.
- Ini memudahkan anda untuk memuat turun video ke dalam telefon pintar anda.
- Sekiranya anda memang jenis yang suka berkongsi video perjalanan anda ke media sosial, fungsi ini bagus.
- Jika tidak, fungsi WiFi ini tidak begitu penting.
Dashcam yang nampak “biasa”
- Jangan gunakan dashcam yang nampak mahal.
- Contohnya, GoPro memang boleh dijadikan dashcam tetapi harganya yang mahal akan membuatkan ia menjadi daya tarikan pencuri.
- Kes dashcam dicuri banyak kali berlaku.
Waranti
- Pastikan ia datang dengan waranti lengkap.
- Pastikan juga ia datang dengan buku manual agar anda tahu cara operasi dan cara penggunaan fungsinya.
- Ada yang membeli jenis yang canggih tetapi cuma guna fungsi biasa sahaja.
Diharapkan tips ini dapat membantu anda dalam memilih dashcam yang sesuai sebagai peneman sepanjang perjalanan anda ketika di atas jalanraya.
Lihat juga artikel mengenai i30 N Fastback disini.

You must be logged in to post a comment Login