Hiburan
Zaibo Hembuskan Nafas Terakhir Petang Tadi

Selepas enam bulan menderita akibat kanser esofagos, pelakon Zaibo akhirnya menghembuskan nafas terakhir kira-kira pukul 1.30 petang Rabu. Berita sedih itu disahkan oleh isterinya Siti Hawa Sawal. Ia merupakan satu kehilangan besar dalam industri seni tanah air.
“Abang Zaibo dah tiada… minta doakan dia ya,” katanya ringkas sambil menahan sebak di dada tanpa mampu bercakap panjang. Menurut Siti Hawa, 52, jenazah akan dikebumikan pada hari ini di tanah perkuburan Islam di Rengit, Batu Pahat, Johor.
Zaibo atau nama sebenarnya Zainal Ariffin Abd. Hamid, 62, tidak menyedari dia menghidap kanser tahap empat. Dia hanya mengetahuinya semasa bulan Ramadan lalu yang mana dia tidak boleh menelan makanan.
Selepas mendapatkan rawatan di hospital, doktor memaklumkan dia menghidap kanser. Akhirnya Zaibo mendapatkan rawatan susulan di Hospital Selayang beberapa bulan lalu. Dia juga turut berusaha berubat secara tradisional di Johor.
Zaibo membintangi sitkom Spanar Jaya (1999 hingga 2005) serta filem-filem seperti fantasi muzik Magika dan Awan Dania The Movie. Dia juga memainkan peranan kecil dalam filem Hollywood, Anna and The King.
Allahyarham juga terkenal kerana wataknya sebagai penjual mi rebus dalam sitkom dari Singapura iaitu Under One Roof pada tahun 1990, yang pertama kali disiarkan pada tahun 1995.
Sama-samalah kita sedekahkan Al-Fatihah dan mendoakan agar roh allahyarham ditempatkan dalam kalangan orang yang soleh.
Lihat juga berita mengenai Lagenda Stan Lee (Marvel Comics) Meninggal Dunia

You must be logged in to post a comment Login